Trend ‘thrift’ bantu pengguna berjimat, menyokong ekonomi



Oleh : Aimi Sani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi






RIMBA, Jumaat, 26 Disember. - Brunei December Festival (BDF) terus menjadi tumpuan orang ramai apabila diisi dengan pelbagai acara, jualan dan aktiviti menarik yang memberi manfaat besar kepada ekonomi negara serta rakyat sebagai pembeli amnya.


Sepanjang penganjuran festival ini, pelbagai promosi, jualan murah dan tawaran istimewa ditawarkan oleh peniaga tempatan, sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan dan kehendak pada harga yang lebih berpatutan, selain diharap akan dapat membantu rakyat merancang perbelanjaan dengan lebih bijak.


Peningkatan aktiviti jual beli sepanjang BDF ini turut merangsang perbelanjaan domestik, di mana rakyat digalakkan untuk menyokong produk dan perkhidmatan tempatan. Aliran perbelanjaan dalam negara ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS).


Sehubungan itu, Thryffy Technologies Sendirian Berhad menganjurkan Thrift and Chill 2025 bertempat di aras atas, Rimba Point selama empat hari iaitu Khamis, 25 Disember hingga Ahad, 28 Disember 2025 bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.


Turut diadakan ialah aktiviti kolaboratif bersama Rimba Point seperti 'prize giveaways' dan pengalaman menarik lain untuk pengunjung.


Trend pakaian terpakai atau 'thrift' yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat turut menjadi antara tarikan sepanjang festival ini. Pembelian pakaian 'thrift' membolehkan pengguna memperoleh barangan berkualiti pada harga yang jauh lebih rendah berbanding pakaian baharu, sekali gus membantu mereka berjimat dan mengurus kewangan dengan lebih berhemah.


Dari sudut ekonomi, aktiviti 'thrift' membuka peluang pendapatan kepada usahawan kecil dan peniaga tempatan yang menjadikan pakaian terpakai sebagai perniagaan. Permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan 'thrift' menunjukkan perubahan sikap pengguna ke arah perbelanjaan lebih mampan dan berdaya saing.


Di samping itu, amalan membeli pakaian terpakai turut menyumbang kepada usaha mengurangkan pembaziran dan sisa tekstil, selaras dengan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.


Secara keseluruhannya, BDF bukan sahaja berperanan sebagai platform hiburan dan perayaan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, pengukuhan perniagaan kecil serta penerapan amalan perbelanjaan bijak dalam kalangan rakyat.


Close